Showing posts with label Journey of Life. Show all posts
Showing posts with label Journey of Life. Show all posts

Friday, August 27, 2010

Ramadhan Tour 2010

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mempunyai segala kesempurnaan dan keindahan hakiki.Selawat dan salam atas keluarga baginda..

Alhamdulillah3x.. hari ini kita masih bernafas dalam asma' Allah, dan yang paling penting.. masih ada nikmat ISLAM dan IMAN yang disyukuri saban hari.

Pasti sahabat-sahabat yang melayari laman sesawang saya ini berasa hampa kerana sekian lama tiada perubahan yang dilakukan. Atau mungkin ada yang membuat spekulasi tentang saya.

Futurkah dia? Sibuk sangatkah?

Astaghfirullah al-Azim 3X

Keinginan untuk menulis sentiasa membuak-buak tetapi acapkali masa menjadi penghalang. Bila ada 'masa' momentum semangat pula tak konsisten. Hari ini dengan tekad, jari-jari ini dipimpin oleh kelangsungan akal anugerah Allah bersama kekuatan semangat untuk berusaha menulis juga...

Kembara Ramadhan

"We plan but Allah is the best and ultimate planner"

Itulah ungkapan terbaik buat kita sebagai hamba. Alhamdulillah, dengan izin Allah 10 Ramadhan 1431 yang lalu, saya dan sahabat baik, ukhti Sakinah Hashim telah berjaya bertemu bagi merealisasikan program Ramadhan Tour 2010 yang kami rancangkan sebelum Ramadhan lagi. Usai sesi persekolahan hari Jumaat jam 12.30 t/hari, kami bergerak dari tempat masing-masing menuju ke Darul Qur'an, destinasi pertemuan kami sebelum 'konvoi' bersama.

Peace and harmony

Tiba di Darul Quran saya terus ke masjidnya yang indah untuk menunaikan solat Zuhur. Hati begitu sayu saat memasuki rumah Allah tersebut apabila kedengaran suara-suara pelajar-pelajar Banin DQ mengalunkan ayat-ayat Quran tanpa henti. Ya Allah, penuh barakah dan ketenangan. Sujud penuh syahdu sebagai hamba buat Rabb yang Maha Agung. Moga Allah jadikan saya dan zuriat keturunan saya sebagai Hamlatul Qur'an. Ameen ya Allah~ Selesai solat Zuhur, saya dan ukhti Sakinah bertemu setelah hampir setahun tidak bertemu. Alhamdulillah terubat rindu pada sahabat baik saya ini.

Perancangan di atur untuk 'Ramadhan Tour 2010' dengan destinasi pertama kami untuk menziarahi Naqibah kami sewaktu di UPSI, kemudian iftar dan solat Terawih bersama adik-adik Junior ahli usrah kami di Masjid Proton City, Tanjung Malim. Keesokan harinya, Sabtu 11 Ramadhan 1431H,barulah kami bertolak ke Rumah Anak-Anak Yatim Darussakinah, Teluk Intan, Perak.

Tautan Ukhuwah

Kadang-kadang kita sebagai manusia terlepas pandang. Terlepas pandang akan ukhuwah sesama kita. Tautan hati yang kuat akan mengkhabarkan kepada kita jika ada antara sahabat kita yang tidak sihat zahir dan batinnya. Hatta, jika sudah mencapai halawatul ukhuwah itu sendiri. Khabarnya apabila sahabat kita sedang mendoakan kita di sana, kita akan merasai doa itu di sini. Subhanallah! ALLAH juga pemberi perasaan yang indah dan unik ini.

Alhamdulillah, kembara ziarah ini telah menemukan saya dan ukhti Sakinah dengan Naqibah kami sewaktu di UPSI atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yaya. Kami tiba di Kalumpang (rumah baru Kak Yaya) jam lebih kurang 5.35 petang.Meski ziarah ini hanya sebentar, tapi cukup memberi kegembiraan apabila saling bertukar khabar berita. Kak Yaya tidak jemu memberi nasihat dan pandangan buat kami,adik-adiknya. Moga ukhuwwah ini berkekalan dan dirahmati Allah=)

Kenangan bersama Kak Yaya dan anak-anaknya. Iman dah jadi 'anak dara' tunggal dalam keluarga ^^ setakat ini. Di pangkuan, baby Zaki An-nas yang sangat baik dan soleh.

Kembara diteruskan lagi jam 6.30 petang bertemu dengan akhawat junior UPSI untuk Iftar bersama. Begitu gembira bila bertemu dengan ukhti Fida, ukhti Anis dan Kak Aini yang berlapang hati berbuka puasa bersama kami. Kembara diteruskan ke masjid Proton City petang 10 Ramadhan 1431H. Di tepi masjid, kami bentang tikar dan iftar bersama berbumbungkan langit dan awan. Sungguh menggamit memori. Manisnya ukhuwah terasa ditambah kemesraan yang terjalin dengan selingan tawa dan usikan sesama kami. Makanan yang dikongsi walaupun tak banyak tapi begitu mencukupi berkat saling berkongsi ^^ Thank you Allah.

Kami bermalam di rumah Kak Aini di Taman Universiti. Ya Allah, Kak Aini sangat baik. Siap masak untuk kami bersahur. Walaupun baru mengenalinya tapi Kak Aini melayan kami begitu istimewa. Moga Allah membalas kebaikanmu di akhirat kelak.


Memori iftar ala-ala 'picnic' bersama Kak Aini, ukhti Anis, ukhti Fida dan ukhti Sakinah di masjid Proton City, Tanjung Malim, Perak

Apabila matahari menghilangkan diri dan bulan mula menjengah.. Sesi menghabiskan rezeki yang ada. Alhamdulillah atas nikmat rezeki berbuka. ^^

Gambar kenangan di tepian Masjid Proton City selesai solat Terawih. Adik Fida dan Kak Aini ^^, Happy to meet all of you.

Rumah Anak-Anak Yatim Darussakinah, Teluk Intan, Perak

Pagi 11 Ramadhan 1431H, kembara diteruskan ke Teluk Intan, Perak. Perjalanan penuh penantian yang berakhir dengan pertemuan yang ditunggu-tunggu.


Berhenti sebentar di stesen Tapah menghantar ukhti Anis (kanan) yang ingin pulang ke kampungnya.

Setibanya di sana, pagi itu masa diisi dengan sesi menonton cerita=) Adik-adik khusyuk dan fokus melihat video kisah ' Gaza Al-Abiyah' menerusi laptop kakak yang kecik tu. Alhamdulillah berpeluang sampaikan mesej tentang nasib saudara-saudara kita di Palestin pada mereka. Moga terbit rasa syukur dalam jiwa~


Tahlil sebelum berbuka puasa bersama

Wajah-wajah anak-anak yatim yang begitu dekat dihatiku~

“Mereka menanyakan kepadamu (Muhamad) tentang anak-anak yatim. Katakanlah, Memperbaiki keadaan mereka (islah) adalah baik! Dan jika kamu mempergauli mereka, maka mereka adalah saudara-saudaramu. Allah mengetahui orang yang membuat kerosakan dan yang berbuat kebaikan. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Dia datangkan kesulitan kepadamu. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana”
( Al-Baqarah:220)

Menjaga anak-anak yatim bukanlah mudah apatah lagi menjaga anak-anak yatim yang ramai. Ramai orang ya ng membaca hadith:

"Aku dan penjaga anak yatim seperti ini di syurga", Rasullullah menunjukkan kedua-dua jari tengah dan telunjuknya. (HR al-Bukhari)

Apabila berbicara mengenai Syurga, percayalah, ia bukan mudah sebenarnya. Ia susah jika tidak dipermudahkan Allah. Moga Allah memberkati usaha Pengetua Rumah Anak-Anak Yatim Darussakinah, Ustaz Sulaiman yang begitu tekad membantu menyara anak-anak ini. Biarpun sudah hampir berumur 60 tahun lebih, dan kurang keupayaan bergerak namun beliau tetap cekal dengan amanah ini. Kesungguhan bapa angkat saya ini benar-benar memuhasabahkan diri saya betapa pentingnya memanfaatkan nikmat usia.

Kami juga mengambil peluang menziarahi warga Darussakinah, Ayah Uzair dan isteri serta Mak Sa'adiah yang banyak menyumbang tenaga membantu Pengetua Rumah Anak-Anak Yatim, Ustaz Sulaiman menguruskan anak-anak yatim disitu, Alhamdulillah mereka semua sihat.

Bersama Ayah Uzair dan isteri. Terima kasih kerana sentiasa mengalu-alukan kehadiran kami ^^. Kagum dengan ayah Uzair yang gagah melakukan kerja-kerja kampung. 'Mengecop' kelapa sawit time Ramadhan. Huissh, memang hebat! Alhamdulillah.

Kenangan bersama Mak Sa'adiah. Rumah Mak sangat bersih dan cantik. Terima kasih Mak sediakan makanan berbuka puasa dan sahur untuk kami.^^ May Allah bless you.

Kenangan Terindah

Dua hari pastinya tidak puas untuk kembara ziarah ini, tapi kami tetap bersyukur atas pertemuan ini. Kembara berakhir pada pagi hari Ahad 12 Ramadhan 1431H. Hati rasa begitu sebak dan sayu. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Itulah matlamatnya. Terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat baik saya dunia akhirat, Ukhti Sakinah atas segalanya. Perpisahan kami untuk 'Ramadhan Tour 2010' diakhiri dengan pelukan dan deraian air mata. Ya Allah...

Doa Rabitah saya titipkan buat sahabat-sahabat yang bersama-sama saya selama ini. Nikmat Ukhuwwah itu terlalu manis dan perlu disyukuri. Thank you Allah~


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu

Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

Muhasabah usia manusia

Kadang kita tidak pernah merasa, ketika “Dia” beransur-ansur meninggalkan kita, dan mensiakan banyak kenangan. Kenangan yang indah dan duka. Yang kita tahu “Dia” takkan kembali. Dan hanya orang yang mengambil pelajaran yang akan menemukan makna atas kehadirannya. "Dia" itulah usia kita. Ya Allah, jadikan saudara, sahabat, temanku ini menjadi orang yang mempu menjadikan tiap umurnya adalah nafas-nafas perjuangan Dien-Mu.

Saturday, July 24, 2010

Membina momentum semangat~~

Bila aku mengejar dunia..
Hatiku sedih.. Semangatku mati..

Bila aku mengejar akhirat..
Hatiku berbunga-bunga..
Dan aku ingin hidup..
Seribu tahun lagi..


"Andai kita hidup untuk diri sendiri.. kita akan merasakan hidup ini sempit dan pendek. Namun, andai kita hidup untuk sebuah akidah dan perjuangan, kita akan merasakan hidup ini luas dan panjang.." Sajak Sayyid b. Qutb, yg ditulis buat adiknya Hamidah Qutb, ketika beliau dalam penjara..

Wednesday, April 21, 2010

Rindu itu anugerah Allah

Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Bangi. Muallimah terkadang terasa ingin kembali ke sana. Tapi ada perjuangan yang lebih besar di tempat Muallimah kini~

Beberapa bulan yang lalu saya menerima SMS dari seorang anak murid saya di Sekolah Menengah Islam Al-Amin:

Shahrul : Assalamualaikum Muallimah, apa khabar?
Saya: Waalaikumussalam. Muallimah sihat Alhamdulillah. Muallimah rindu pada Al-Amin dan warganya.Kamu apa khabar? Macam mana belajar?
Shahrul: Baek je. Susah sket la..Form 4 kan.. Muallimah rindu Al-Amin, ana rindu Muallimah ajar..

Bicara bersama anak-anak murid di SMI Al-Amin ku abadikan di sini.

Kenapa 'rindu' itu hadir?

Kembara perjalanan menyoroti sebuah kenangan indah buat saya kerana dengan izin Allah, pada tahun lepas, sebelum saya di'postingkan', saya berpeluang untuk mengajar di Sekolah Menengah Islam Al-Amin Bangi. Ketetapan Allah yang amat saya syukuri.

Saya memang rindukan 'biah' (suasana) di sana..

Setiap pagi jam 8, semua pelajar dan guru berkumpul di dewan untuk bacaan Ma'thurat berjemaah...

Selepas itu, Solat sunat Dhuha ditunaikan..

Sebelum sesi pengajaran dan pelajaran diadakan, 30 minit diambil untuk tilawah dan hafazan Al-Qur'an..

Solat Zuhur dan Asar berjemaah...

Puasa sunat Isnin dan Khamis beramai-ramai (pelajar-pelajar dan guru-guru)

Usrah mingguan antara guru-guru...

MasyaAllah, setiap hari, makanan rohani sudah diberikan sekenyang-kenyangnya. Pengisian di sekolah bukan sahaja untuk kebaikan di dunia tapi bekalan untuk perjalanan akhirat yang abadi. Terasa tenang ke sekolah setiap hari.

Saya juga merindui guru-guru dan anak-anak murid di SMI Al-Amin

Saya kini perlu 'mujahadah' untuk istiqamah melakukan semuanya. Berhadapan dengan realiti ummah yang perlu di'islahkan' membuatkan jiwa dan iman benar-benar diuji.

FALSAFAH PENDIDIKAN SMI AL-AMIN, BANGI

Proses pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabbani, berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk diri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah melalui sistem pendidikan yang seimbang, bersepadu, menyeluruh dan berterusan.

Ibrah (Pengajaran) dari pesanan Rasulullah S.A.W

Rasulullah S.A.W bersabda, “Siapa yang tidak menyayangi maka dia tidak disayangi.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Dear students, Muallimah LOVE all of you and hope for your successful in this life (dunia) and the hereafter (akhirat). Ketahuilah anak-anak muridku, kalian begitu beruntung berada di Al-Amin disaat ummah sebaya kalian begitu hanyut dengan kelalaian tapi kalian sentiasa dilimpahi pengisian rohani dan sentiasa diingati tentang peranan sebagai hamba dan khalifah Allah.

Doakan Muallimah disini teguh berjihad untuk ummah, kerana Muallimah tidak berupaya menyediakan suasana seperti kalian lalui pada anak-anak murid Muallimah sekarang, tapi sedayanya Muallimah akan tetap teguh menunjukkan qudwah hasanah (contoh yang baik) dan mencontohi Rasulullah S.A.W. InsyaAllah.

Belajarlah dengan penuh tekun dan sabar. Moga kalian terus membesar dan dewasa sebagai syabab (pemuda) dan fatayat (pemudi) yang berguna untuk agama, ummah, dan negara.

*Muallimah adalah kata ganti diri untuk penulis dalam bahasa Arab yang bermaksud Cikgu*

Sunday, April 11, 2010

Hidayah, miraculous gift from Allah =)

Salam alaik buat semua, moga sentiasa dalam sejahtera di bawah rahmatNYA. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmat Iman dan Islam, nikmat kesihatan, masa lapang dan akal yang waras.

Lama sudah aku tidak berkongsi di sini.

Setiap langkah yang kulalui terlalu banyak pengalaman bermakna yang ingin dikongsi, tapi terlalu sukar kerana tiada ruang dan peluang untuk menulis. Minggu ni Alhamdulillah, dengan izin Allah sekali lagi diri ini diberi peluang mengurus program bulanan PERKIM Ampang, Interactive Dakwah Training.

Allah is the best planner, kali ini, sekali lagi Allah izinkan diri ini menjadi saksi pengIslaman saudara baru, seorang lelaki warga Nigeria. Islam telah menerima seorang lagi saudara baru.

Saat beliau mengungkap kalimah Syahadah, ada getar dalam hatiku.

"Alhamdulillah. Welcome brother to our big family", gembiranya kami meraikan saudara baru ini. Sahabat-sahabat lelaki bersalaman dan memberikan pelukan penuh ukhuwwah dan mahabbah.

"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendakiNya menjadi sesat, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman."
[Al-An'aam, QS 6 : 125]


Bergambar kenangan bersama Committee Perkim Ampang dan para peserta.

"Nice to meet all of you" ujarnya dengan senyuman sebelum melangkah pulang. Pulangnya beliau sebagai seorang Muslim. Fitrahnya seperti seorang bayi yang baru lahir,suci tanpa dosa. Ya Allah..

Moga Allah memberi kekuatan buatnya untuk menjadi Muslim yang baik.

Hidayah Allah memberi kita peluang untuk berjalan di atas jalan yang benar, mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dan menyelamatkan diri di Hari Kebangkitan kelak.

Terima kasih buat Bro Lim, Bro Ghouse, Sis Suhana, Bro Yusry, Bro Firdaus dan semua Committee Perkim Ampang atas jasa dan kebaikan kalian. May Allah bless all of you.

Terima kasih ya Allah atas aturanMu ini.

Monday, February 22, 2010

The miracle of Hidayah~

Salam alaik buat semua. Minggu ini adalah minggu mujahadah buat saya. Tugas-tugas sekolah bersifat teknikal yang terlalu banyak perlu saya uruskan. Terlalu lelah, namun saya akui semangat yang terbina memberi kekuatan untuk saya terus melangkah. Anak-anak murid adalah sumber kekuatan saya. Saya gembira bila setiap hari ke sekolah, saya ditegur dan disapa oleh pelajar-pelajar, dan yang pastinya saya tidak jemu menghadiahkan senyuman pada mereka.

Semalam selepas pulang dari sekolah jam 7.00 petang, saya menerima panggilan telefon.

"Assalamualaikum, siapa ni?"

"Cikgu, ni saya William"

"Oh, William. William di mana sekarang ni?"

"Saya sekarang tinggal di Kajang. Bulan Mac ni saya akan ke PLKN. Cikgu, macam mana nak hubungi pihak PLKN sebab saya dah pindah rumah. Takut surat tak sampai. Cikgu apa khabar?"

"Cikgu sihat Alhamdulillah. Ok takpe, nanti cikgu check di internet no telefon PLKN. Cikgu sekarang mengajar sesi petang"

"Oh, cikgu, nanti cikgu beli majalah Millenia atau Al-Islam keluaran Februari. Ada tentang kami sekeluarga"

"InsyaAllah nanti cikgu beli. Jaga diri baik2"

"Baik cikgu, Assalamualaikum"

"Waalaikumussalam"

Saya tersenyum panjang menerima panggilan telefon tersebut dari seorang bekas pelajar di sekolah saya..sungguh terharu kerana beliau mengingati saya sedangkan saya tidak berpeluang mengajarnya..

The Memory

Sewaktu saya posting tahun lepas, saya berpeluang membantu pihak sekolah mengurus pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan SPM. Waktu itu masih saya ingat, ada seorang pelajar berbangsa India datang ke sekolah untuk mengambil SPM dan beliau telah memberitahu pada salah seorang guru bahawa beliau telah memeluk agama Islam.
Saat itu, saya begitu bersungguh untuk mengenali pelajar tersebut. Walaupun saya adalah guru baru, tapi saya begitu bertekad untuk berjumpa pelajar berkenaan. Setelah mengenalpasti pelajar itu, saya mengambil peluang untuk bertemunya di kantin sekolah. Waktu itu saya masih ingat, pelajar tersebut sedang asyik mendengar lagu-lagu Tamil melalui handphonenya.

"Boleh cikgu jumpa kamu sekejap"

"Boleh, ada apa cikgu"

"Kamu William kan? Cikgu dapat tahu kamu dah masuk Islam" saya menyapanya dengan senyuman.

William tersenyum

"Tahniah, welcome William to our big family. In Islam, we are brothers and sisters tanpa mengira bangsa dan pangkat. If you have anything to ask, you can ask me. I'm here to help you" bicara saya pada William.

" Terima kasih banyak2 Cikgu" balas William

William berbangsa India dan pada asalnya beragama Kristian mazhab Jenovah. Beliau memberitahu saya bahawa keinginannya untuk memeluk Islam kerana beliau suka melihat Muslimin solat beramai-ramai pada hari Jumaat.

Allah..begitu hebat hidayah Allah. Alhamdulillah, pertemuan saya dan William begitu bermakna. Waktu itu saya berharapan, moga saya berpeluang membantu muallaf seperti William pada masa akan datang kerana beliau adalah pelajar saya. Saya doakan moga hidayah Allah terus memimpinnya menjadi Muslim yang baik. Allahuakbar!

PERKIM Ampang

Menyoroti kembara perjalanan hidup, Alhamdulillah, penglibatan saya dengan PERKIM Ampang semenjak saya di UPSI setahun lalu, telah membina suatu paradigma yang baru dalam hidup saya. Medan ini telah membina keyakinan dan kekuatan buat saya tentang pentingnya berdakwah pada non-Muslim.

Fikrah saya telah berubah sejak keterlibatan dengan PERKIM Ampang. Di sekolah, saya melihat anak-anak murid sebagai mad'u. Tidak kira bangsa dan agama. Sedayanya saya menyampaikan pada anak-anak murid saya tentang keindahan Islam.

Kenangan bersama-sama peserta-peserta dan speakers, Bro Lim dan Bro Amin ketika "Interactive Dakwah Training" anjuran PERKIM Ampang.

Peluang beberapa kali menjadi saksi pengIslaman muallaf ketika bersama PERKIM Ampang, telah membuatkan saya bermuhasabah bahawa hidayah Allah itu luas dan amat berharga. Justeru kita perlu berusaha menyampaikan keindahan Islam.

Dakwah mesti bermula dengan niat yang ikhlas dan kasih sayang. Keindahan akhlak amat penting sebagaimana baginda Rasulullah s.a.w digambarkan mempunyai akhlak yang sangat terpuji dan sentiasa "welcome" kepada sesiapa sahaja yang berjumpa dengannya tanpa mengira batas usia, keturunan, warna kulit malahan jantina.

Ayuh kita tingkatkan kesedaran berdakwah kepada non-muslim dalam diri kita. Walau hanya dengan menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Buatlah sekadar yang kita mampu. Mudah-mudahan mereka dapat menyampaikannya kepada kawan-kawan mereka pula. Usaha yang kecil jika di lakukan secara berterusan, Insyaallah akan memberikan impak yang besar. Dan ingatlah ukuran kejayaan dalam berdakwah bukanlah berdasarkan berapa ramai orang yang revert. Tapi bagaimana kesungguhan kita dalam menyampaikan kebenaran. Allah Knows~

Jalan ini jalan JAUH. Matlamat akhir itu HAKIKI. Mencapainya memerlukuan KESABARAN dan KETEKUNAN, ujian adalah KAYU UKUR iman. Tinggi rendah iman diukur daripada NATIJAH di akhir ujian. Tetaplah TSABAT, Janji-Nya PASTI~

Thursday, December 24, 2009

Nikmat sihat sebelum sakit

Salam alaik buat semua, begitu pantas masa berlalu menyedarkan saya bahawa setiap perjalanan hidup ini memerlukan perancangan dan Muslim yang cemerlang adalah Muslim yang merancang hidupnya... tapi hakikat yang pasti Allah adalah sebaik-baik perancang..

Diri yang merancang

Bulan Disember ini bagi lebih dikenali dengan istilah "school holidays" yang pastinya mengundang keriangan pada pelajar-pelajar sekolah dan kebimbangan sebahagian ibu bapa yang bekerja memikirkan pengisian masa terluang buat anak-anak mereka.Sebagai guru yang baru dipostingkan, saya tidak berpeluang banyak untuk meluangkan masa untuk diri sendiri (wah..macam banyak tanggungjawab jer). Sebenarnya beginilah saya.. Sejak di universiti sangat suka menyibukkan diri, untuk ilmu, untuk kebajikan dan segalanya untuk Islam adalah kecintaan saya.. Justeru setiap hujung minggu pada bulan Disember saya sudah membuat "tag" untuk program-program NGO yang akan saya ikuti.


Nikmat Sihat sebelum Sakit


Taklifan sebagai fasilitator yang saya terima daripada NGO Khalifah Institute saya terima dengan hati yang sangat-sangat terbuka. Young Khalifah Camp di Kem Perah FRIM, Selangor (11-13 Disember 2009) menjadi medan permulaan untuk program bulan Disember 2009.

Kenangan bersama ukhti Muna fasilitator dari UIA=)

Sakit yang mengundang hikmah

Sehari sebelum program Young Khalifah Camp berakhir, saya mengalami kecederaan di kaki kanan akibat terlanggar batu, mula-mula terasa berdenyut dan saya abaikan sahaja rasa sakit itu. Bila malam, saya dengan memberanikan diri mengurut bahagian kaki yang sakit. MasyaAllah esoknya bengkak kian menjadi dan daripada dapat berjalan saya dah tak upaya berjalan kerana sakit yang teramat sangat. Hari terakhir saya tidak dapat bergerak ke mana-mana..
Keadaan kaki saya menyebabkan ummi sangat2 risau.

Adik-adik LDK saya yang sangat baik dan berpotensi.

MasyaAllah, peritnya bila berjalan menggunakan sebelah kaki. Hari itu juga ummi bawa saya ke klinik, melihat keadaan kaki saya di tambah kerisauan ummi, doktor klinik tersebut terus minta saya ditransferkan ke Hospital Serdang dan buat screening x-ray kerana dikhuatiri patah.

Aduh! Malam itu kami terus ke wad kecemasan Hospital Serdang. Kerana rasa pedih pada kaki kanan, saya di beri wheelchair untuk ke bilik x-ray Hospital Serdang. Hakikatnya saya yang ceria membuatkan pesakit-pesakit dan pelawat hospital memandang sedikit serong pada saya, mungkin mereka fikir “Betul ke sakit, ceria semacam je..” Alhamdulillah kaki saya tidak patah. Tapi sayangnya doktor muda di hospital itu hanya member ubat tahan sakit.

3 hari berlalu…

Bengkak di kaki masih tidak surut. Air mata berlinang menahan kesakitan saat hendak bergerak. Terlantar di pembaringan.. Anggota yang lain sihat tapi bila kaki tidak dapat bergerak, terasa hilang semuanya. Mengalir air mata saya bila menahan kesakitan. Di sinilah saya tahu Allah mengajar saya eri sabar dan syukur..

17 Disember 2009, saya menghubungi pihak Khalifah Institute untuk menarik diri sebagai fasilitator untuk program seterusnya, The Khalifah Camp 18-20 disember 2009 dengan penuh berat hati.. semangat saya mati dengan keadaan diri..

Melihat ketiadaan perubahan pada kaki saya, ummi sekali lagi membawa saya ke klinik. Alhamdulillah kali ini bertemu dengan doktor berpengalaman yang kami sekeluarga kenali sejak saya kecil lagi. He asked me to soak my right leg in pail filled with ice cubes. Kalau ikutkan medic term, istilah kesakitan ini dinamakan “Soft Tissue Swelling”, ada tisu terluka. Doktor tukar semua ubat yang pernah saya dapat sebelum ni.. MasyaAllah hari itu saya belajar sesuatu.. pengalaman membezakan seseorang individu. Pengalaman adalah ilmu berharga dalam kehidupan..akhirnya..doktor yang ketiga yang saya temui barulah menyatakan prescription yang tepat..

Alhamdulillah, semangat saya merendamkan kaki dalam ais sampai kaki kejang2 telah mengurangkan rasa sakit. Hakikat Allah yang Maha Penyembuh. Thank you Allah. Thank you so much. Tiada kekuatan selain dariNYA..

Rupa-rupanya, manusia merancang tapi Allah adalah sebaik-baik perancang, 19 Disember saya diberi kekuatan untuk berjalan normal dengan kedua belah kaki walaupun agak perlahan. Saya menerima panggilan dari Bro Lim Juoi Soon, beliau meminta bantuan saya untuk menguruskan Interactive Dakwah Training anjuran PERKIM Ampang.. kekuatan saya untuk pergi bertambah-tambah apabila saya dimaklumkan ada wanita Cina Kristian yang mahu revert Islam.. Dengan kaki yang baru mula untuk sembuh saya menguatkan semangat agar terus dapat menyumbangkan khidmat tenaga...

Alhamdulillah3x, pagi Sabtu 19 September, Masjid Bukit Indah, Ampang Selangor menjadi saksi pengIslaman seorang wanita Cina yang beragama Kristian. Kecenderungan wanita ini mengetahui tentang Islam, memberi tekad untuk memilih Islam sebagai agama pilihan hidupnya. Allahuakbar!

Yang pasti peserta-peserta Interactive Dakwah Training kali ni menerima pengalaman berharga menjadi saksi pengIslaman. Hidayah itu milik mutlak Allah buat hamba-hambaNYA. Benarlah, "Al-Islam Ya'lu wala yu'la alaih"-Islam itu tiggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Sister Michelle mendengar penerangan Bro. Lim juoi Soon tentang Islam sejurus selepas mengucap syahadah. Welcome sister to our big family. We are brothers and sisters in Islam. Alhamdulillah


Interactive Dakwah Training anjuran PERKIM Ampang

Saya belajar banyak perkara daripada kembara hidup kali ini bahawa dalam gerak kerja kita, Allah adalah sebaik-baik perancang. Faiza 'azamta Fatawakkal 'Alalloh.. (Setelah kamu berazam maka bertawakkallah pada Allah) Surah Al-Imran ayat 159.

Sharing kata-kata terakhir dari sahabat buat sahabat...Yakinlah, barangsiapa yang dihatinya ada Allah, dan mengutamakan Allah atas segala apa yang dilakukannya, Allah akan seiringkan pekerjaannya dengan pertolonganNya. Bekerja keraslah engkau untuk hari esokmu yang abadi. Berbekallah dengan amalan yang menguntungkanmu di sana nanti. Ingatlah, sebaik-baik bekalan adalah taqwa.