Saturday, April 17, 2010

Guru perlu menjalankan dua peranan sekali gus - yakni sebagai Murabbi (pendidik) dan juga Muallim (pengajar)

Dipetik dari Majalah Solusi Isu No.2

Kita ingin melahirkan insan yang seimbang menerusi sistem pendidikan kita. Yakni insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah cemerlang juga dari segi rohaninya. Sekiranya ada pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi rosak akhlaknya maka itu bererti kita gagal melahirkan insan yang seimbang. Tentu dia akan pincang dalam menghadapi kehidupan kelak.Walaupun mungkin bilangan pelajar-pelajar yang rosak akhlak masih sedikit, namun kita seharusnya merasa bimbang kerana bilangan yang sedikit itu akan makin bertambah. Dan tentu sahaja masalah besar khususnya kepada ibu bapa anak-anak yang malang itu.

Kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin seseorang itu dapat melayari hidupnya dengan baik. Katakanlah dia mendapat pekerjaan yang baik, tapi bila tidak jujur dia mungkin menipu, terlibat dalam rasuah dan mungkin akhirnya terjebak dalam ‘white collar crime’. Kita sudah pun sedia maklum betapa kadar rasuah di kalangan kaki tangan kerajaan turut membimbangkan.

Hakikatnya, kejahatan yang dilakukan oleh orang yang bijak lebih memusnahkan berbanding dengan kejahatan oleh orang-orang yang bodoh. Mahukah sekolah-sekolah elit kita bakal melahirkan penjenayah yang professional? Kecemerlangan akademik dan akhlak boleh dicapai secara bersepadu. Maksudnya para pelajar yang betul-betul menjaga akhlaknya sangat berpotensi untuk menjadi pelajar yang cemerlang akademiknya.

Menjaga akhlak

Bila dikatakan menjaga akhlak, ia bermaksud berakhlak dengan Allah dan berakhlak sesama manusia. Berakhlak dengan Allah misalnya, memiliki rasa syukur, sabar, redha dan lain-lain. Dengan rasa itu para pelajar tersebut tentulah menjaga segala suruhan Allah, seperti menutup aurat, solat dan lain-lain. Hasil mengerjakan solat jiwanya akan tenang, dan dengan ketenangan itu dia dapat menjaga hubungannya dengan kawan-kawan, guru dan ibu bapa dengan baik.

Apabila suasana menjaga hubungan sesama orang di sekelilingnya adalah baik, maka mudahlah ia menelaah pelajaran. Dia tidak bermasalah dengan ibu bapanya, guru-gurunya dan kawan-kawan. Bahkan bila berakhlak baik, ibu bapa tentu akan sama mendoakan, guru-guru akan membantu, rakan-rakan akan bekerjasama.

Doa ibu bapa sangat mustajab. Bila guru-guru sudah sayang maka mudahlah mereka memberi tunjuk ajar. Kawan-kawan yang baik akan mudah diajak untuk berbincang dan membentuk ‘group discussion’ dan sebagainya. Tegasnya, akhlak yang baik secara langsung akan membentuk suasana yang kondusif untuk para pelajar mencapai kecemerlangan akademik.

Dua perkara yang berbeza

Perlu diingat, bahawa memberi pelajaran dan memberi pendidikan adalah dua perkara berbeza. Mungkin pelajar-pelajar berjaya menimba pelajaran. Memberi pelajaran melibatkan proses menyampaikan ilmu. Tetapi mendidik adalah satu perkara yang lain. Kekadang proses pembelajaran tercapai, tetapi proses pendidikan agak terabai. Pencapaian pelajaran boleh diukur menerusi prestasi dalam peperiksaan tetapi kejayaan mendidik jauh lebih kompleks dan abstrak.

Bagaimana hendak mengukurnya? Ukuran sama ada tercapai atau tidak proses mendidik itu adalah melalui nilaian tahap akhlak seseorang pelajar. Oleh itu para guru dan ibu bapa yang merupakan pendidik dalam institusi pendidikan yang bernama sekolah dan di rumah, harus sama-sama bermuhasabah.

Apakah pelajar-pelajar di sekolah hanya mendapat pelajaran atau pada masa yang sama turut juga mendapat pendidikan?

Ya, pencapaian kita mungkin membanggakan, apabila keputusan peperiksaan UPSR, SPM, STPM para pelajar semakin meningkat. Namun, bagaimana pula peranan sekolah sebagai tempat membina asuhan, tunjuk ajar yang baik dan didikan akhlak?

Ini satu tugas yang bukan sahaja lebih mencabar, tetapi juga lebih utama. Guru dan ibu bapa perlu menjalankan dua peranan sekali gus – yakni sebagai murabbi (pendidik) dan juga muallim (pengajar).

Kita tinjau dulu peranan murabbi. Guru dan ibu bapa mesti berperanan sebagai murabbi, tidak sekadar muallim. Mengapa? Ini kerana peranan muallim berfokuskan pengajaran manakala murobbi berfokuskan pendidikan. Ramai orang tersilap dan menganggap mengajar (peranan muallim) dan mendidik (peranan murabbi) itu sama. Jika sudah ada muallim (para guru), maka dengan sendirinya kita sudah ada pendidik.

Banyak bezanya antara murabbi dengan muallim. Muallim ialah individu yang berperanan menyampaikan ilmu kepada anak-anak muridnya. Dia mengajar ilmu-ilmu tertentu sama ada yang berbentuk agama (fardhu ain) ataupun akademik (fardhu kifayah) kepada muridnya.

Matlamat utama pengajar adalah agar ilmu yang diberikan itu dapat difahami dan diaplikasi semula semasa peperiksaan. Ertinya, berlaku perpindahan ilmu dari akal ke akal- yakni dari akal muallim kepada akal murid dan akhirnya murid meluahkan semula ilmu itu di atas kertas peperiksaan.

Tugas Murabbi lebih mencabar

Murabbi lebih dari itu. Murabbi berperanan mendidik jiwa muridnya. Supaya jiwa muridnya terkesan oleh ilmu yang diberikan. Ilmu itu kemudiannya dihayati,diyakini dan kemudiannya diamalkan dalam kehidupan.

Tegasnya,tugas murabbi lebih ‘advance’daripada muallim kerana dia perlu memastikan sesuatu ilmu bukan sahaja difahami tetapi dihayati sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak muridnya. Jika tugas muallim banyak berlegar ‘pada akal’, maka tugas murabbi pula adalah ‘di dalam hati’ murid-muridnya. Tamsilan muallim adalah seperti orang yang mengumpulkan bahan-bahan masakan (tepung,gula, mentega, garam, gula, dan air) manakala murabbi pula adalah umpama tukang masak yang mengadun, membancuh, menguli, membakarnya hingga menjadi seketul roti. Jadi bukanlah tugas murabbi tugas yang mencabar?

Murabbi memastikan dalam jiwa anak muridnya timbul kemahuan sedangkan muallim hanya berperanan supaya timbul pengetahuan. Kekuatan ‘kemahuan’ sebenarnya mengatasi ‘pengetahuan’. Katalah murid telah diajar tentang sifat-sifat sabar, tahu apa ciri-cirinya, kategori sabar, apa unsur-unsur yang membawa kepada sifat sabar dan sebagainya. Tetapi hanya dengan itu, mampukah ia bersabar apabila berdepan dengan sesuatu yang mencabar kesabarannya?

Tugas ini adalah tugas adalah tugas murabbi, justeru dia juga ada kemampuan untuk memastikan ilmu yang ada itu dapat diamalkan.

Produk Sistem yang tidak Seimbang

Cabaran utama dalam sistem pendidikan secara umumnya adalah kita mampu member ilmu sebanyak-banyaknya, tetapi gagal dalam memberikan didikan setepat-tepatnya. Akibatnya produk sistem pendidikan tidak seimbang. Ada yang cemerlang akademik,tetapi akhlaknya kurang baik.

Ini bukan sesuatu yang janggal justeru baru-baru ini kita di dedahkan dengan isu wujudnya pengedar-pengedar dadah di kalangan pelajar universiti dan juga masalah kelahiran bayi luar nikah di kalangan siswi-siswi.

Yang penting sekarang ialah bagaimana melahirkan ramai murabbi, bukan sekadar muallim dalam masyarakat kita. Atau soal yang lebih besar dari itu ialah siapakah yang mampu mendidik para pendidik? Bagaimana keberkesanan institusi-institusi perguruan atau universiti melahirkan murabbi? Apakah kelayakan yang seharusnya ada pada seorang murabbi? Apakah individu yang meletakkan profesion guru sebagai pilihan terakhir dan menerimanya secara ‘terpaksa’, mampu menjadi murabbi yang dedikasi?

Secara ringkasnya, seorang murabbi ialah mereka yang benar-benar merasakan tugas mendidik itu ialah amanah daripada Allah. Dia sedar bahawa dia sedang memikul tugas para nabi dan rasul khususnya nabi Muhammad S.A.W. Jika jurutera berdepan dengan bahan-bahan fizikal, doktor dengan sakit fizikal, peniaga dengan barang dagangan, pilot dengan kapal terbang… murabbi pula berdepan dengan jiwa, akal, nafsu dan perasaan manusia!

Ini adalah sebab utama mengapa diutus para rasul ke dunia, yakni untuk menyeru, mendidik dan memimpin manusia. Bukan sahaja untuk sejahtera di dunia, tetapi juga di akhirat.

Soalnya, apakah kita sebagai guru,ibu bapa dan pemimpin tidak kira di peringkat mana, merasakan kita sedang menjunjung dan menyambung peranan para Rasul? Jika para rasul berdepan dengan umat seluruhnya, kita hakikatnya sedang berdepan dengan anak-anak dan pelajar kita.

Ya, tugas mendidik adalah untuk mereka yang berjiwa besar,benar, tulus, amanah, dan jujur, dalam melaksanakan misi besar ini.

2 comments:

  1. salam...

    mantap... membuatkan kawe teruja membacanya. semoga guru2 kita enjadi guru yang Muallim, Mudarris, Muaddib, Murabbi..

    begitu juga dengan professional2 lain, terus menjadi professional yg Muallim, Mudarris, Muaddib, Murabbi...

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, All praises to Allah=)Mendidik jiwa itu peranannya jauh lebih besar,mencorak ummah pada masa hadapan, moga terus berjuang dalam melaksanakan amanah ini. May we be rewarded for every good that blossoms from the seeds that we plant=)InsyaAllah. It's a Jihad!

    ReplyDelete