Friday, August 27, 2010

Ramadhan Tour 2010

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mempunyai segala kesempurnaan dan keindahan hakiki.Selawat dan salam atas keluarga baginda..

Alhamdulillah3x.. hari ini kita masih bernafas dalam asma' Allah, dan yang paling penting.. masih ada nikmat ISLAM dan IMAN yang disyukuri saban hari.

Pasti sahabat-sahabat yang melayari laman sesawang saya ini berasa hampa kerana sekian lama tiada perubahan yang dilakukan. Atau mungkin ada yang membuat spekulasi tentang saya.

Futurkah dia? Sibuk sangatkah?

Astaghfirullah al-Azim 3X

Keinginan untuk menulis sentiasa membuak-buak tetapi acapkali masa menjadi penghalang. Bila ada 'masa' momentum semangat pula tak konsisten. Hari ini dengan tekad, jari-jari ini dipimpin oleh kelangsungan akal anugerah Allah bersama kekuatan semangat untuk berusaha menulis juga...

Kembara Ramadhan

"We plan but Allah is the best and ultimate planner"

Itulah ungkapan terbaik buat kita sebagai hamba. Alhamdulillah, dengan izin Allah 10 Ramadhan 1431 yang lalu, saya dan sahabat baik, ukhti Sakinah Hashim telah berjaya bertemu bagi merealisasikan program Ramadhan Tour 2010 yang kami rancangkan sebelum Ramadhan lagi. Usai sesi persekolahan hari Jumaat jam 12.30 t/hari, kami bergerak dari tempat masing-masing menuju ke Darul Qur'an, destinasi pertemuan kami sebelum 'konvoi' bersama.

Peace and harmony

Tiba di Darul Quran saya terus ke masjidnya yang indah untuk menunaikan solat Zuhur. Hati begitu sayu saat memasuki rumah Allah tersebut apabila kedengaran suara-suara pelajar-pelajar Banin DQ mengalunkan ayat-ayat Quran tanpa henti. Ya Allah, penuh barakah dan ketenangan. Sujud penuh syahdu sebagai hamba buat Rabb yang Maha Agung. Moga Allah jadikan saya dan zuriat keturunan saya sebagai Hamlatul Qur'an. Ameen ya Allah~ Selesai solat Zuhur, saya dan ukhti Sakinah bertemu setelah hampir setahun tidak bertemu. Alhamdulillah terubat rindu pada sahabat baik saya ini.

Perancangan di atur untuk 'Ramadhan Tour 2010' dengan destinasi pertama kami untuk menziarahi Naqibah kami sewaktu di UPSI, kemudian iftar dan solat Terawih bersama adik-adik Junior ahli usrah kami di Masjid Proton City, Tanjung Malim. Keesokan harinya, Sabtu 11 Ramadhan 1431H,barulah kami bertolak ke Rumah Anak-Anak Yatim Darussakinah, Teluk Intan, Perak.

Tautan Ukhuwah

Kadang-kadang kita sebagai manusia terlepas pandang. Terlepas pandang akan ukhuwah sesama kita. Tautan hati yang kuat akan mengkhabarkan kepada kita jika ada antara sahabat kita yang tidak sihat zahir dan batinnya. Hatta, jika sudah mencapai halawatul ukhuwah itu sendiri. Khabarnya apabila sahabat kita sedang mendoakan kita di sana, kita akan merasai doa itu di sini. Subhanallah! ALLAH juga pemberi perasaan yang indah dan unik ini.

Alhamdulillah, kembara ziarah ini telah menemukan saya dan ukhti Sakinah dengan Naqibah kami sewaktu di UPSI atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yaya. Kami tiba di Kalumpang (rumah baru Kak Yaya) jam lebih kurang 5.35 petang.Meski ziarah ini hanya sebentar, tapi cukup memberi kegembiraan apabila saling bertukar khabar berita. Kak Yaya tidak jemu memberi nasihat dan pandangan buat kami,adik-adiknya. Moga ukhuwwah ini berkekalan dan dirahmati Allah=)

Kenangan bersama Kak Yaya dan anak-anaknya. Iman dah jadi 'anak dara' tunggal dalam keluarga ^^ setakat ini. Di pangkuan, baby Zaki An-nas yang sangat baik dan soleh.

Kembara diteruskan lagi jam 6.30 petang bertemu dengan akhawat junior UPSI untuk Iftar bersama. Begitu gembira bila bertemu dengan ukhti Fida, ukhti Anis dan Kak Aini yang berlapang hati berbuka puasa bersama kami. Kembara diteruskan ke masjid Proton City petang 10 Ramadhan 1431H. Di tepi masjid, kami bentang tikar dan iftar bersama berbumbungkan langit dan awan. Sungguh menggamit memori. Manisnya ukhuwah terasa ditambah kemesraan yang terjalin dengan selingan tawa dan usikan sesama kami. Makanan yang dikongsi walaupun tak banyak tapi begitu mencukupi berkat saling berkongsi ^^ Thank you Allah.

Kami bermalam di rumah Kak Aini di Taman Universiti. Ya Allah, Kak Aini sangat baik. Siap masak untuk kami bersahur. Walaupun baru mengenalinya tapi Kak Aini melayan kami begitu istimewa. Moga Allah membalas kebaikanmu di akhirat kelak.


Memori iftar ala-ala 'picnic' bersama Kak Aini, ukhti Anis, ukhti Fida dan ukhti Sakinah di masjid Proton City, Tanjung Malim, Perak

Apabila matahari menghilangkan diri dan bulan mula menjengah.. Sesi menghabiskan rezeki yang ada. Alhamdulillah atas nikmat rezeki berbuka. ^^

Gambar kenangan di tepian Masjid Proton City selesai solat Terawih. Adik Fida dan Kak Aini ^^, Happy to meet all of you.

Rumah Anak-Anak Yatim Darussakinah, Teluk Intan, Perak

Pagi 11 Ramadhan 1431H, kembara diteruskan ke Teluk Intan, Perak. Perjalanan penuh penantian yang berakhir dengan pertemuan yang ditunggu-tunggu.


Berhenti sebentar di stesen Tapah menghantar ukhti Anis (kanan) yang ingin pulang ke kampungnya.

Setibanya di sana, pagi itu masa diisi dengan sesi menonton cerita=) Adik-adik khusyuk dan fokus melihat video kisah ' Gaza Al-Abiyah' menerusi laptop kakak yang kecik tu. Alhamdulillah berpeluang sampaikan mesej tentang nasib saudara-saudara kita di Palestin pada mereka. Moga terbit rasa syukur dalam jiwa~


Tahlil sebelum berbuka puasa bersama

Wajah-wajah anak-anak yatim yang begitu dekat dihatiku~

“Mereka menanyakan kepadamu (Muhamad) tentang anak-anak yatim. Katakanlah, Memperbaiki keadaan mereka (islah) adalah baik! Dan jika kamu mempergauli mereka, maka mereka adalah saudara-saudaramu. Allah mengetahui orang yang membuat kerosakan dan yang berbuat kebaikan. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Dia datangkan kesulitan kepadamu. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana”
( Al-Baqarah:220)

Menjaga anak-anak yatim bukanlah mudah apatah lagi menjaga anak-anak yatim yang ramai. Ramai orang ya ng membaca hadith:

"Aku dan penjaga anak yatim seperti ini di syurga", Rasullullah menunjukkan kedua-dua jari tengah dan telunjuknya. (HR al-Bukhari)

Apabila berbicara mengenai Syurga, percayalah, ia bukan mudah sebenarnya. Ia susah jika tidak dipermudahkan Allah. Moga Allah memberkati usaha Pengetua Rumah Anak-Anak Yatim Darussakinah, Ustaz Sulaiman yang begitu tekad membantu menyara anak-anak ini. Biarpun sudah hampir berumur 60 tahun lebih, dan kurang keupayaan bergerak namun beliau tetap cekal dengan amanah ini. Kesungguhan bapa angkat saya ini benar-benar memuhasabahkan diri saya betapa pentingnya memanfaatkan nikmat usia.

Kami juga mengambil peluang menziarahi warga Darussakinah, Ayah Uzair dan isteri serta Mak Sa'adiah yang banyak menyumbang tenaga membantu Pengetua Rumah Anak-Anak Yatim, Ustaz Sulaiman menguruskan anak-anak yatim disitu, Alhamdulillah mereka semua sihat.

Bersama Ayah Uzair dan isteri. Terima kasih kerana sentiasa mengalu-alukan kehadiran kami ^^. Kagum dengan ayah Uzair yang gagah melakukan kerja-kerja kampung. 'Mengecop' kelapa sawit time Ramadhan. Huissh, memang hebat! Alhamdulillah.

Kenangan bersama Mak Sa'adiah. Rumah Mak sangat bersih dan cantik. Terima kasih Mak sediakan makanan berbuka puasa dan sahur untuk kami.^^ May Allah bless you.

Kenangan Terindah

Dua hari pastinya tidak puas untuk kembara ziarah ini, tapi kami tetap bersyukur atas pertemuan ini. Kembara berakhir pada pagi hari Ahad 12 Ramadhan 1431H. Hati rasa begitu sebak dan sayu. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Itulah matlamatnya. Terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat baik saya dunia akhirat, Ukhti Sakinah atas segalanya. Perpisahan kami untuk 'Ramadhan Tour 2010' diakhiri dengan pelukan dan deraian air mata. Ya Allah...

Doa Rabitah saya titipkan buat sahabat-sahabat yang bersama-sama saya selama ini. Nikmat Ukhuwwah itu terlalu manis dan perlu disyukuri. Thank you Allah~


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu

Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

Muhasabah usia manusia

Kadang kita tidak pernah merasa, ketika “Dia” beransur-ansur meninggalkan kita, dan mensiakan banyak kenangan. Kenangan yang indah dan duka. Yang kita tahu “Dia” takkan kembali. Dan hanya orang yang mengambil pelajaran yang akan menemukan makna atas kehadirannya. "Dia" itulah usia kita. Ya Allah, jadikan saudara, sahabat, temanku ini menjadi orang yang mempu menjadikan tiap umurnya adalah nafas-nafas perjuangan Dien-Mu.